Jumaat, 24 Disember 2010

MISTERI GELIGA PELANDUK


Tanduk Tunggal Raja Pelanduk
Kali ini saya ingin berkongsi beberapa cerita berkaitan dengan penemuan misteri geliga pada sang kancil yang telah diceritakan oleh seorang pakcik saya sendiri iaitu Pakcik Suadin Lamid. Beberapa hari yang lalu pakcik telah menceritakan tentang orang kampung yang telah menemui sebutir geliga yang jarang sekali boleh dijumpai pada seekor pelanduk yang dikatakan mempunyai sebatang tanduk yang kecil terletak di antara kedua-dua cuping telinga. Saiz tanduk tersebut adalah sebesar cili padi, dan dalam seribu ekor kancil, hanya seekor sahaja yang bernasib baik memiliki geliga tersebut, ataupun disebut sebagai ‘butia’ oleh penduduk-penduduk sekitar daerah Ranau.
Pada suatu hari, seorang rakan pakcik saya ini pergi memburu di hutan belantara berhampiran dengan kampung mertuanya iaitu di Togop Darat. Cerita mengenai pelanduk misteri tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang kampung yang suka memburu. Dikatakan bahawa pelanduk yang mempunyai ‘butia’ atau geliga ini tidak lut senjata, kebal walaupun ditembak beberapa kali. Sebelum meneruskan perjalanan untuk pergi memburu, rakan pakcik saya ini singgah di sungai Kopuakan untuk mengambil batu sebesar ibu jari. Batu tersebut adalah batu yang keras berwarna keputih-putihan. Batu tersebut di gosok hingga menjadi bulat dan dimasukkan ke dalam sebutir peluru bagi menggantikan butir-butir timah. Menurutnya itulah petua bagi memburu si kancil yang kebal itu.
Setelah peluru buatan khas itu siap, maka dia pun meneruskan perjalanan. Dalam hutan tebal dan suasana gelap gelita tanpa sinaran bulan, tiba-tiba sepasang mata kelihatan bersinar-sinar kerana suluhan dari lampu suluhnya di dalam semak, beberapa meter di hadapannya. Memang dia sudah menyangkakan bahawa tempat tersebut terdapat seekor pelanduk bertanduk dengan melihat pokok-pokok di sekitarnya yang mana bahagian bawah pokok-pokok telah terkupas-kupas kulitnya dikerjakan oleh pelanduk tersebut. Tanpa membuang masa, dia menembak pelanduk itu dengan sebutir peluru biasa, tetapi pelanduk tersebut tidak apa-apa dan hanya menjilat-jilat bahagian yang terkena tembakan tanpa luka tersebut. Memandangkan pelanduk tersebut tidak juga berganjak dari tempatnya berdiri tadi, maka dia pun mendekati pelanduk tersebut dan menembaknya semula dengan harapan agar pelanduk itu akan tersungkur. Harapannya punah dan kecewa hingga tembakan kali yang ke enam. Pada kali yang ketujuh, dia nekad menggunakan peluru yang telah diubahsuainya ketika di sungai tadi. Dia yang semakin hampir dengan pelanduk kebal tersebut menembaknya lalu pelanduk itu terpelanting beberapa meter lalu mati. Dia pun bergegas mendapatkan pelanduk itu dan mendapati pelanduk itu hampir-hampir tidak berbulu lagi kerana hampir keseluruhan badannya berkemungkinan sudah pernah ditembak berkali-kali oleh beberapa pemburu sebelum ini tetapi gagal menawannya. Kali ini giliran pelanduk itu mati ditangan orang berpengalaman ini. Dia mengamati badan pelanduk tersebut tetapi tidak ada kesan luka, hanya kesan tembakan batu yang nampaknya telah mematahkan tulang rusuknya hingga rusuk kanan bertemu dengan rusuk kiri, terperosok ke dalam akibat impak dari tembakan batu sungai Kopuakan tersebut. Dia pun cepat-cepat menanggalkan kepala pelanduk tersebut dan mengambil geliga yang berada di atas kepalanya yang seakan-akan sebiji cili padi sahaja. Dia pun membawanya pulang lalu menunjukkan kepada orang-orang kampung dengan apa yang telah diperolehinya malam itu.
Menurut pakcik saya lagi, butia atau geliga itu sangat jarang ditemui, kalau ada pun hanya orang-orang tertentu sahaja yang bernasib baik. Adapun butia yang sama boleh dijumpai pada perut ikan sungai, dalam kelapa dan berbagai-bagai tempat lagi dan kalau bernasib baik, akan beruntung sesiapa yang mendapatnya. Mengikut kepercayaan orang-orang kampung, geliga tersebut ampuh digunakan dalam perubatan, merawat berbagai-bagai penyakit, memadam kebakaran rumah, membuatkan air banjir surut dan sebagainya. Pernah berlaku di sungai Kopuakan, kononnya air sungai banjir tiba-tiba, lalu orang yang memiliki geliga tersebut mengikatnya lalu merendamkannya di dalam air sungai tersebut. Beberapa minit sahaja air sungai kembali seperti biasa. Pernah juga pada suatu hari, sebuah rumah milik penduduk kampung telah terbakar. Orang yang memiliki geliga tersebut memasukkan geliga yang dimilikinya itu ke dalam sebuah tin kecil dan membalingkannya ke tengah-tengah rumah yang sedang dijilat api, dengan serta merta api tersebut reda dan akhirnya terpadam.
Wallahualam, apa pun cerita yang telah anda dengar berkaitan dengan butia ataupun geliga ini, bagi kita orang yang beragama dan percaya kepada kuasa tuhan, maka hendaklah kita mempercayai bahawa hanya Allah sahaja yang berkuasa dankita harus menjaga iman serta akidah kita daripada terpesong, kerana mempercayai bahawa adanya kuasa pada batu geliga bermakna kita seolah-olah sudah menduakan atau mempersekutukan Allah..dan perkara ini membawa kita kepada syirik…