Harta karun adalah harta yang ditanam oleh pihak tertentu kerana alasan yang tersendiri. Harta karun boleh sahaja dalam bentuk wang, emas dan berlian serta barang-barang berharga seperti artifak lama.
Ramai yang berusaha menjejaki harta karun yang dikatakan tertanam di beberapa tempat di daerah Ranau, yang telah ditanam oleh seorang saudagar emas yang kaya-raya suatu masa dahulu ketika perang dunia kedua.
Berdasarkan hasil kajian yang telah dibuat oleh satu agensi pencari harta karun dari Canada, menunjukkan salah satu tempat dimana tersembunyinya beberapa ketul jongkong emas adalah di kampung Pinawantai. Melalui usaha saya sendiri dengan menggunakan sistem pencerobohan data dari internet yang telah saya bangunkan sejak dua tahun yang lalu, saya telah berjaya menceroboh data agensi tersebut dan mendapatkan lokasi yang tepat kawasan jongkong emas itu disembunyikan.
Ia tidak jauh dari tempat penginapan saya di sini, cuma perlukan usaha yang banyak untuk menemukan harta tersebut. Hati kecil mengatakan bertapa senangnya kehidupan saya selepas ini jika usaha ini berjaya. Terdetik dalam hati untuk memiliki kehidupan yang mewah.
Suatu hari, saya pergi ke tempat yang ditunjukkan dalam peta tersebut. Kawasan tersebut berada di tengah-tengah ladang koko yang telah pun dihentikan pengeluarannya di mana sebelum ini ia di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah. Berdasarkan tanda-tanda dan maklumat yang saya ada, saya berjaya menemukan sebuah kawasan yang terdapat beberapa ketul batu yang ditanam membentuk seperti sebuah pentagon, seperti yang dicatat dalam maklumat yang saya perolehi.
Saya menganggarkan bahawa sebuah peti yang diperbuat dari kayu bolian tertanam di bawah tanah di mana batu pentagon itu dijumpai. Tanpa membuang masa, saya terus menggali sebuah lubang yang besar dengan menggunakan skop dan cangkul. Saya tidak memperdulikan lagi penat dan lelah demi untuk menemukan harta tersebut. Ketika saya sedang asyik menggali tanah tersebut, tiba-tiba cangkul yang saya hayunkan seperti terkena pada satu objek yang sangat keras.
Saya tidak tahu kenapa benda tersebut berbunyi seperti sesuatu yang biasa didengari. Ada tak orang lain yang sedang memerhati dan bersembunyi di sebalik pokok kayu ataupun orang lalu lalang yang sedang membunyikan lagu pada telepon bimbit mereka.
Saya memberhentikan kerja menggali, saya cuba mendengar bunyi tersebut. Kedengaran seperti lagu Ema saja ni. Saya amat terkejut. Mata saya terbeliak. Saya terus terjaga dari tidur, rupanya penggera telepon telah disetkan lagu Ema dengan tajuk lagunya ’Hati-Hati’. Rupa-rupanya saya bermimpi sahaja, aduhai malang sekali nasib saya. Alangkah beruntungnya jika mimpi tersebut benar-benar sebuah kenyataan..