Jumaat, 27 Januari 2012

Serangga Pelik Berbentuk Daun




SETIU – Jika akhbar ini semalam menyiarkan seorang penoreh di Hulu
Terengganu mendapat seekor ikan pelik masuk ke dalam bubunya, hari ini,
seorang mekanik juga berhadapan senario sama apabila rumahnya tidak
putus dikunjungi setelah dia memelihara seekor serangga pelik.
Penemuan seekor serangga yang tidak dikenali me nyerupai sehelai daun
limau purut menimbulkan tanda tanya kepada Norasmadi Nordin, 45, dan
keluarganya.

Serangga berkenaan turut mempunyai urat daun, berwarna hijau pekat dan berlilin di lapisan permukaannya.

Seperti juga saiz daun limau purut, serangga ini mempunyai ukuran lebar 2.5 sm dan panjang 5 sm.

Norasmadi berkata, dia tidak tahu makanan yang diambil serangga itu
kerana rumput yang diletakkan dalam sangkarnya tidak berubah seakan
tidak pernah dimakan.

Menceritakan penemuan spesies pelik itu, Norasmadi berkata, semasa dia
mencuci kereta di rumahnya, tiba-tiba dia terlihat seperti sehelai daun
berterbangan atas meja.

“Namun setelah diamati, sangkaan saya meleset apabila bukan daun
berterbangan, tetapi serangga menyerupai sehelai daun sedang bergerak,”
katanya.

Menurut Norasmadi, serangga ini istimewa kerana sesekali ia mengeluarkan
bau wangi seperti limau purut manakala bahagian belakang serangga itu
terangkat apabila ia bergerak seperti sehelai daun yang bergulung di
hujungnya.