Ahad, 11 Jun 2017

Rebutlah Keampunan Di Bulan Ramadan

السلام عليكم ورحمۃ ﷲ...


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ (متفق عليه) ورواه أصحاب السنن الأربع.
Maksud hadith :-
Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Barang siapa yang mendirikan Ramadan (dengan berpuasa di siang harinya dan bersolat tarawih di malamnya) atas dasar iman dan mengharap pahala (redha Allah), maka dosanya yang telah lalu akan diampuni"* (Hadith riwayat Al-Bukhari : 37, Muslim : 760 & Ashabus Sunan Yang Empat)

*Huraian ringkas :*
Yang dimaksud berpuasa atas dasar iman iaitu berpuasa kerana meyakini akan kewajipan puasa. Sedangkan yang dimaksud ihtisab adalah mengharap pahala dari Allah Ta'ala. (Lihat Fathul Bari, 4: 115).

Al Khottobi berkata, "Yang dimaksud ihtisab adalah berkaitan niat iaitu berpuasa dengan niat untuk mengharap balasan baik daripada Allah. Jika seseorang berniat demikian, ia tidak akan merasa berat dan tidak akan merasa lama ketika menjalani puasa."

Kalau seseorang mendasari puasanya kerana dasar iman, mengharap pahala dan redha, maka tentu hatinya semakin tenang, lapang serta bahagia. Akan timbul rasa bersyukur atas nikmat puasa Ramadhan yang didapati tahun ini. Hatinya tentu tidak merasa berat dan susah ketika menjalani puasa. Sehingga akan terlihat hati yang ceria dan berakhlak yang baik.

Hadith di atas juga menunjukkan bolehnya kita mengharap pahala atau balasan daripada Allah ketika menjalani suatu ibadah, itu adalah dibolehkan dan termasuk dalam keikhlasan.

*MENDIRIKAN BULAN RAMADAN* (قام رمضان)
_Dengan memandang zahir maksud hadith menggunakan bahasa mendirikan (قام), ertinya mendirikan seluruh siang harinya dengan berpuasa dan malam-malam bulan Ramadan dengan beribadah. 

Imam An-Nawawi berkata : Mendirikan Ramadan akan dicapai dengan Solat Tarawih sehingga menghabiskan setiap malam dengan ibadah-ibadah sunnah.

*KEIMANAN* (إيمانا)
Dalam berpuasa dan mendirikan bulan Ramadan harus didasari sebuah keimanan. Ertinya meyakini dan membenarkan bahawa kewajipan puasa yang disyari'atkan oleh Allah SWT & Rasulullah SAW adalah benar dan hak serta harus meyakini melakukan puasa adalah wajib baginya.

*IHTISABAN* (إحتسابا)
Melakukan ibadah dibulan Ramadan harus didasarkan semata-mata mencari redha dan pahala daripada Allah Taala iaitu penuh keikhlasan. Ertinya melakukan puasa dan lain-lain ibadah bukan kerana takut atau malu pada orang lain dan bukan kerana menunjuk-nunjuk atau inginkan kenamaan belaka (Sum'ah).

*AMPUNAN DOSA* (غفر له)
Majoritu ulama' menjelaskan bahawa dosa-dosa yang diampuni sebagaimana yang dijanjikan hanyalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak Allah. Imam an-Nawawi berkata sesungguhnya yang dimaksud pengampunan dosa dalam berkaitan puasa ini ialah jika dia memiliki dosa-dosa kecil maka diampuni, jika melakukan dosa besar maka diringankan dan jika tidak memiliki dosa, nescaya dia diangkat darjatnya di syurga. Para Ulama' mengatakan kerana dosa besar hanya akan diampuni dengan bertaubat. Imam Al-Qodhi Iyad berkata ini adalah pendapat Ahlus Sunnah Waljamaah.
وﷲ أعلم.
sumber: insan mulia berhati nurani..