Isnin, 5 Jun 2017

SADIS.. TUKANG CAT MAUT DITIKAM RAKAN SENDIRI

PENAMPANG: Seorang tukang cat maut ditikam rakan sekerjanya akibat salah faham di depan bengkel membaiki kenderaan berhampiran Bulatan Nenas, Jalan Penampang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian antara jam 5 hingga 5.45 petang itu, Fandi Ariyanto, 24, warga Indonesia yang cedera di bahagian belakang tubuhnya disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) untuk rawatan kecemasan.

Susulan kejadian itu, suspek yang turut bekerja sebagai tukang cat melarikan diri sebelum saksi kejadian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden, berkata mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian belakang badan selepas ditikam dengan senjata tajam.

"Setakat ini, punca sebenar belum dapat dipastikan namun ketika kejadian berlaku salah faham antara mangsa dengan suspek.

"Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu suspek dikenali sebagai Budi @ Uding, 38, warga Indonesia yang dipercayai bersembunyi bagi mengelak ditahan. Gambar suspek juga sudah diedarkan untuk membolehkan orang ramai membantu mengesannya," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rosley meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Hazlie Md Yusoh di talian 016-8869030 atau IPD Penampang 088-712222 atau balai polis yang berhampiran.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.