Sabtu, 24 April 2010

Cerita Hantu Bukit Garas!!

Baru-baru ini, seorang Jaga yang menjaga jentera-jentera berat kontraktor pembinaan jalan raya highway Ranau –Kota Marudu (Perwira P.C) di Bukit Garas, menceritakan bahawa satu makhluk aneh telah menjelma dan mengganggunya yang sedang bertugas ketika itu. 

Menurut ceritanya, pada suatu malam, sedang dia duduk-duduk menghisap rokok, dia pun terlelap. Tiba-tiba dia merasakan seperti jaketnya ditarik oleh seseorang. Apabila dia membuka matanya, kelihatan satu makhluk pelik yang tak pernah dilihatnya sebelum ini sedang asyik menarik jaketnya. 

Jaga itu kemudiannya bergegas bangun dan terus merebut semula jaketnya dari makhluk tersebut. Makluk tersebut berlari dengan laju dan seakan-akan kakinya tak sentuh bumi. 

Pada mulanya, suara makhluk tersebut seperti orang perempuan yang ketawa tetapi apabila sudah menjauh, bunyinya nyaring dan seperti bunyi seekor kuda yang sedang mengilai. Apa lagi, si Jaga tersebut berlari kearah pondok kawan-kawannya yang tak jauh dari situ.. dan dengan ketakutan yang amat sangat, macam hampir terkencing di seluar, dia cuba menenangkan dirinya. 

Bukit Garas yang terletak diantara Kg. Timbua dengan Kg. Perancangan Ranau sememangnya memiliki ‘kekerasannya’ sendiri. Menurut beberapa cerita dan pemerhatian saya sendiri, sudah banyak kemalangan jalan raya yang berlaku disini. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca dari keadaan permukaan jalan gravel yang curam dan licin. Ada juga yang mengatakan bahawa di dalam gaung di bawah bukit itu adanya satu benda ‘keras’ yang menarik kenderaan-kenderaan yang lalu disitu. 

Hampir setiap 5 tahun ada sahaja korban makhluk tersebut. Seorang penduduk tempatan menceritakan bahawa pernah satu ketika beberapa tahun yang lalu, sebuah trailer yang sedang membawa muatan jentera berat telah terjatuh ke dalam gaung, pemandu dan kalendan telah terbunuh, dan kesan tumpahan darah kelihatan dengan jelas di kawasan ini agak lama. Pernah juga suatu hari seorang guru di SK. Togop Darat (kini sudah bersara) telah mengalami kemalangan di Bukit Garas ini, tetapi kemalangan ini tidak membawa kepada kehilangan jiwa, hanya kecederaan yang dialami. 

Pada suatu malam seorang penduduk dari kampung Togop Darat melalui jalan ini. Waktu itu jam menunjukkan lewat jam 1.00 pagi. Tiba sahaja di sebuah selekoh, beliau ternampak satu mayat yang dibaluti dengan kain putih sedang terbaring di tengah jalan, dengan tidak memperdulikan keselamatan dirinya, beliau memecut kereta kerana agak ketakutan. Beberapa hari juga beliau mengalami demam panas akibat kejutan tersebut. Seorang penduduk tempatan juga menceritakan bahawa suatu malam dia pergi ke Pekan Ranau atas urusan tertentu, apabila tiba di kawasan bukit ini, dia berselisih dengan seorang rakan yang menunggang motorsikal. 

Dia melihat seorang perempuan yang cantik sedang membonceng kawannya ini. Tanpa ada sangkaan yang negative, dia berfikir mungkin itu adalah saudara kepada rakannya tadi. Keesokannya apabila sudah kembali ke kampungnya, dia pun berbual-bual dengan rakannya itu. Tiba-tiba terlintas di hati untuk bertanya siapa perempuan cantik yang membonceng motornya malam semalam. 

Dengan agak terkejut rakannya menafikan keujudan perempuan tersebut dan mengatakan bahawa dia pulang bersendirian apabila selesai pekerjaannya di Kampung Lohan. Siapa gerangannya perempuan itu? Pelik tapi kalau difikirkan, memang tidak dinafikan keangkeran tempat ini. Dan sehingga kini terlalu banyak cerita misteri yang telah terjadi di Bukit Puaka ini, dan tidak dapat saya ceritakan satu-persatu. 

Walaubagaimanapun, jalan berbatu di bukit ini sedang di korek oleh jentera-jentera Perwira Sdn. Bhd yang sedang menaik tarapkan jalan ini dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2014. Dengan siapnya jalan ini akan memberikan keselesaan kepada masyarakat daerah Ranau Dan Kota Marudu serta Sabah amnya.

Sumber Cerita adalah dari orang2 yang benar2 terlibat melalui temual dan cerita kupi2. Ditulis sendiri oleh pemilik blog mini ini. Copy Paste Dan Edit Artikel Tanpa Izin adalah salah disisi undang2.