Rabu, 14 Julai 2010

Isu Panas Di Pinawantai Ranau

Rasa-rasanya tahun 2010 ini sudah hampir ke penghujungnya. Sekarang ini bulan Julai, tinggal 5 bulan lagi tahun baru akan menyusul. Masa begitu pantas berlalu. Kalau dihitung-hitung, rupanya sudah 7 tahun saya telah berkhidmat sebagai pendidik di kampung ini dan menempuhi segala keperitan dan kesengsaraan dalam perjuangan mendidik anak bangsa untuk mengenal erti kehidupan. Hari ini, orang Pinawantai semakin maju. Para penoreh getah tersenyum lebar dengan hasil torehannya yang boleh dikatakan amat lumayan.

Mungkin pada perkiraan orang di luar sana kehidupan sebagai penoreh ini agak susah tetapi anda tidak tahu bahawa ada dikalangan para penoreh yang mampu meraih pendapatan sehingga RM5000.00 sebulan. Itu pun dengan kapasiti kebun yang kecil. Cuba bayangkan berapa pendapatan yang diraih dengan kebun yang luas dan besar seluas kampung anda atau seluas Bandaraya Kota Kinabalu. Sedangkan kebun getah seluas 3 ekar pun boleh memberikan hasil sebanyak purata RM3000.00 sebulan pada harga sederhana setiap kilogram.

Nah itulah yang ingin saya perkatakan di sini, bahawa para penduduk kampung sekarang ini kehidupannya lebih mewah berbanding dengan kehidupan para pekebun zaman dahulu. Kalau zaman dahulu harga getah dikatakan Cuma 40sen sekilogram, hari ini harga getah telah naik sehingga RM6.00 sekilogram dan kemungkinan akan naik lagi hingga RM10.00 keatas pada masa akan datang.

Ok cerita tentang getah, mari kita bincangkan isu-isu panas di Pinawantai sekarang ini. Bulan lalu orang sibuk dengan sogit, akibat dari kesalahan gadis-gadis dari dari kampung ini yang termengandung dan terpaksa dinikahkan dengan si lelaki malang tersebut. Mereka yang terlibat tidaklah boleh disebut namanya disini untuk menjaga nama baik mereka tetapi saya katakan disini ada dua orang gadis yang terlibat. Sebelum menulis artikel ini, saya teringat bahawa amaran telah dibuat oleh pihak berkuasa di kampung ini untuk tidak membangkitkan lagi isu ini tetapi saya terpanggil untuk menulisnya juga.

Apa tidaknya cuba renung semula apa yang menjadi bualan media tentang isu pengguguran haram dan pembuangan anak yang amat menyakitkan hati dan berat di mata kita memandangnya. Remaja terutamanya gadis remaja yang amat mudah terjebak dalam masalah ini fikirlah dengan sebaiknya agar tidak menyesal di kemudian hari. Bayangkan berapa dosa anda tentang perbuatan ini dan seumur hidup anda akan dibayangi dengan bayangan dan igauan ngeri tersebut.. Berfikirlah.. bukankah agama telah mendidik kita dan melarang kita untuk melakukan maksiat?

Satu hal lagi seorang remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah berhampiran dan berasal dari sini juga sudah terjebak dalam hubungan terlarang. Saya meneka disini (tidak semestinya betul) bahawa gadis tersebut sudah mengandung dan dalam proses untuk berkahwin. Nasib baiklah lelaki tersebut bertanggungjawab, kalau tidak.. nah rasakan… Hal-hal sebegini adalah perkara biasa zaman sekarang. Salah siapa dan bagaimana cara mengatasinya.. Adakah salah ibu mengandung.. tidak.. mungkin juga salah ibu bapa mendidik.. tiada didikan jiwa dan kerohanian yang mencukupi. Sekarang ini ibu bapa sibuk mencukupkan anak dengan kebendaan dan dididik agar dapat masuk universiti dan menjawat jawatan yang tinggi. Pokok pangkalnya masyarakat terlalai dalam proses memodenkan keluarga dan memperhebatkan nama keluarga masing-masing. Meluat saya memikirkan hal-hal yang amat buruk ini.

Baiklah baru sebentar tadi saya telah menyiapkan satu surat bantahan penduduk kampung Pinawantai, Turuntungon dan Monggis yang mana surat tersebut ditujukan kepada syarikat kontraktor Sri Jutaya Sdn. Bhd. Dalam surat tersebut penduduk kampung membantah pemandu lori yang memandu laju dan berbahaya di kawasan kampung. Untuk pengetahuan anda, jalan raya di kampung ini terutamanya jalan raya di Soborong hingga ke Turuntungon telah siap di bina dan sedang dalam proses pengaspalan (turap).

Jalan raya ini adalah jalan raya yang dibina menghubungkan Ranau dengan Kota Marudu. Para pemandu lori yang bekerja dengan agresif kerana mengejar ’trip’, lebih banyak ’trip’ maka lebih lumayan upahnya. Bukan lori kecil tetapi lori yang besar-besar dan dipandu dengan laju pula. Tidak berperi kemanusiaan betullah para pemandu ini. Oh ya Tidak lama lagi bekalan tenaga elektrik yang dihubungkan dari Kampung Kirokot ke Pinawantai akan siap.

Satu berita baik bagi orang Pinawantai yang tinggal jauh di kota. Pemancar selular Celcom dan Maxis juga telah mendapat persetujuan dan tandatangan dari pemilik tanah yang bakal disewa untuk mendirikan menara pemancarnya di kawasan getah baru di Soborong. Untung besar pemilik tanah tersebut, kata orang tinggal goyang kaki saja kerana sewanya agak lumayan juga dan mungkin lebih dari RM1500.00 sebulan. Durian??? Yaaa lupa pula saya sebutkan, tidak lama lagi musim buah-buahan akan bermula, buah durian, langsat dan rambutan akan masak tidak lama lagi. Saya lihat durian di belakang rumah sudah mulai gugur dua tiga biji sehari. Nah tidak lama lagi.. gemuklah kita kerana terlalu banyak makan durian.

Akhir sekali saya mahu mengucapkan syabas dan tahniah kepada kawan-kawan saya pasukan Spain kerana berjaya menewaskan Belanda 1-0, dalam perlawanan akhir kelmarin. Hidup Sepanyol... Tapi sedih juga, saya pada mulanya menyokong sepenuhnya pasukan Brazil, tetapi awal-awal lagi tersingkir. Apapun.. Sepanyol juga lah...