Jalan raya yang menghubungkan Keningau dan Kimanis, Papar mengandungi kisah dan peristiwa anehnya yang tersendiri. Selain daripada kecuraman dan keperitan pemanduan di laluan tersebut yang merentas Banjaran Crocker, yang mana ramai yang mengadu tentang masalah kehilangan ’pick up’ dan kehausan brek pad, apa tidaknya tempat tersebut sangat tinggi dan apabila mendaki, hanya gear rendah sahaja yang mampu menggerakkan kereta manakala apabila menuruni bukit yang agak curam, harus berwaspada dan pastinya brek mestilah baru dan berkuasa.
Seorang sepupu saya yang bertugas sebagai polis di Kudat, Alpian Shariffin pernah menceritakan satu kejadian yang telah terjadi kepada seorang kawannya yang melalui jalan raya tersebut, bahawa pada suatu hari kawannya yang sedang memandu menuruni banjaran tersebut, berhenti seketika untuk membuang air kecil di tepi jalan raya itu.
Kebetulan di tempat perhentiannya itu terdapat seketul batu yang boleh digunakannya untuk menghadang bahagian depan roda kereta tersebut agar kereta tersebut tidak bergerak ke hadapan dengan sendirinya. Malang sekali, sedang dia membelakangi keretanya tiba-tiba dia mendengar keretanya sedang bergerak, dia segera menoleh dan anehnya keretanya bukanlah bergerak ke hadapan (ke arah yang curam) tetapi sedang bergerak ke belakang seperti ditarik sesuatu benda yang agak besar.
Kejadian tersebut sangat memeranjatkannya. Dia pun terus sahaja mendapatkan keretanya yang sudah bergerak ke belakang lebih kurang dalam 5 meter. Dia terus menghidupkan enjin dan berlalu dari situ. Seram sejuk tengkuknya kerana melihat kejadian pelik itu, dan mulai dari hari kejadian tersebut dia tidak pernah lagi mahu melalui jalan raya tersebut tanpa ada kawan yang menemani.
Pada mulanya saya agak kurang yakin tentang kebenaran perkara tersebut. Apabila saya mendengar cerita yang sama dan kejadian yang sama terjadi kepada beberapa orang yang pernah melalui jalan raya tersebut, saya mulai mempertimbangkan kebenaran kisah tersebut.
Saya mempunyai seorang ipar yang berasal dari Kg. Meninipir Keningau dan ramai kenalan yang berasal dari Keningau, Tambunan dan Papar. Mereka juga mengatakan bahawa kejadian tersebut bukanlah asing bagi mereka malah sudah menjadi asam garam dalam kehidupan seharian mereka.
Malah di JKR dan Polis sendiri ada merekodkan beberapa kejadian kemalangan ngeri yang sering berlaku di kawasan tersebut.