Sabtu, 10 Julai 2010

Perjalanan Dari Pinawantai Balik Ke Kg. Tudangan Ranau.

Memandangkan hari esok adalah hari Sabtu dan Ahad, kami sekeluarga balik ke Kg. Tudangan Ranau. Perjalanan memang agak meletihkan walaupun jarak dari Pinawantai ke Tudangan hanyalah dalam 38KM kerana jalan raya gravel dan sedang dalam kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor. 

Oh ya, Kg. Tudangan ialah kampung yang terletak berhampiran dengan pekan Ranau, dan inilah juga kampung halaman bekas finalis AF2 iaitu Linda Nanuil. 

Dalam perjalanan ini, hujan turun dengan agak lebat. Permukaan jalan di Kampung Tarawas sedang dalam keadaan banjir dan sekiranya tidak berhati-hati, kemungkinan besar percikan air akan merosakkan sistem elektonik dan komputer (ecu) kereta. Kalau memandu agak laju pula, tekanan angin pada tayar menyebabkan tindak balas dengan permukaan air yang dalam dan deras boleh mengakibatkan kereta tersasar dari laluan. Lihat sahaja gaung di bawah itu, amat berbahaya. 

Tiba di Bukit Garas, tebing-tebing tanah tinggi yang berlonggok dan sedang dalam proses pembinaan oleh kontraktor sedang runtuh sedikit demi sedikit. Permukaan jalan pun agak licin. Mujurlah fungsi pacuan empat roda (4WD) masih baik ditambah lagi dengan adanya sistem LSD serta brek yang baik dan enjin yang berkuasa. Seperkara lagi yang agak menyusahkan, banyak lumpur melekat pada badan kereta, apatah lagi rim yang digunakan jenis sport dan keluar lebih kurang satu inci. 

Keadaan sebegini menyebabkan lumpur yang dicengkam oleh tayar akan terpercik dan mengotori seluruh bahagian luar kereta. Rim sebegini amat cantik dipandang tapi musim-musim hujan begini amat memeningkan kepala. Untuk membuka dan membersihkan bahagian luar kereta yang kotor seperti kerbau yang baru keluar dari kubangnya, kami singgah di Sungai Perancangan untuk mencuci kereta, kerana selepas perjalanan melepasi Bukit Garas, maka jalan gravel tidak lagi berlumpur dan sebahagiannya pula sudah berturap. 

Bagi sesiapa yang bercadang untuk melalui jalan ini atau hendak melancong di Taman Negara Gunung Tambuyukon, maka pertimbangkanlah untuk menggunakan kereta 4X4 atau sekurang-kurangnya sediakan segala peralatan seperti selimut dan makanan andainya kereta terbabas dan terpaksa bermalam di dalam kereta di atas Bukit Garas. 

Bagi kami yang telah ditugaskan di tempat sebegini, suasana sebegitu sudah menjadi asam garam. Tetapi, tidak mengapa, 1 tahun dari sekarang, jalan raya highway yang menghubungkan Ranau dengan Kota Marudu kemungkinan akan siap dan pada masa itulah nanti anda bolehlah membawa kereta sport anda yang lower dan mantap… boleh drift lagi gitu..he he