Kolam Air Panas Di Poring Dipercayai Boleh Pulihkan Penyakit Kulit
| Jika ada yang bercerita mengenai kawasan rekreasi air panas, mungkin
ia perkara biasa tetapi tidak di Poring, di mana air panasnya dipercayai
boleh memulihkan penyakit kulit.
Menurut penduduk setempat, Salabiah
Mahmood, 45, yang telah berniaga empat tahun di hadapan kawasan Poring
Hot Spring (PHS) berkata air panas itu mengandungi asid sulfurik, yang
boleh menyembuhkan penyakit kulit tertentu seperti ruam atau
gatal-gatal.
“Nak percaya atau tidak terpulanglah
kepada individu itu sendiri kalau tak nak niat mengubati penyakit, niat
sahajalah untuk beriadah pun bagus jua bah,” katanya ketika ditemui
Bernama.
Beliau berkata mandi air panas sekitar
32 hingga 35 darjah celcius mampu membuka ruang yang dapat mengeluarkan
toksin dalam badan.
“Mandi air panas juga dipercayai dapat
membantu menurunkan paras gula dalam darah selain menyembuhkan sakit
otot dan menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik.
Beliau menyarankan waktu yang sesuai untuk berendam ialah antara 10 hingga 25 minit.
Perkataan Poring berasal daripada bahasa
masyarakat Kadazandusun yang diberikan bagi sejenis spesies pokok buluh
yang tumbuh di kawasan itu.
Perjalanan dari Kota Kinabalu ke PHS mengambil masa kira-kira dua jam kerana jalannya yang bengkang-bengkok dan mencabar.
Namun, yang pasti, tidak akan ada
perasaan bosan kerana di sepanjang perjalanan terbentang luas
pemandangan indah Gunung Kinabalu.
PHS terletak kira-kira 40 km dari Taman
Negara Kinabalu dan kira-kira 13 km dari Ranau dan terkenal kerana kolam
air panas dan jambatan gantungnya yang unik.
Poring Hot Spring, yang terletak dalam
Taman Kinabalu, diwartakan sebagai Taman Negara pada 1964. Manakala ia
diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember 2000
dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan negara.
Di Poring, para pelancong berpeluang
menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung
sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.
Apabila berada di atas laluan kanopi
pula pengunjung dapat menghayati pemandangan Hutan Borneo dan jika
bernasib baik berpeluang melihat hidupan liar yang berhabitat di sekitar
kawasan itu.
Terdapat tempat menarik lain yang
berdekatan dengan PHS, antaranya Air Terjun Kipungit dan Langganan, Gua
Kelawar, Taman Kupu-Kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid.
-BERNAMA