Jumaat, 9 Jun 2017

Jalan raya getah, Malaysia negara pertama

SEGAMAT - Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang  menggunakan getah beku  bagi teknologi  penurapan jalan raya melalui kaedah  Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA).

Ia adalah campuran  yang terdiri daripada  Cup Lump Modified Binder (CMB) dan batu baur  (aggegate).

Kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM)  dan Jabatan Kerja Raya  (JKR) sejak dua tahun lepas  mencapai fasa baharu dalam teknologi campuran getah dalam campuran asfalt selepas diperkenalkan lebih 60 tahun lepas.

Jalan Persekutuan  FT 001 dari  Kampung  Desa Bertemu Jodoh  hingga ke Kampung  Kwong Sai  bakal melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi  pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer yang dijangka  dimulakan Ogos ini.

Projek perintis ini juga  akan membuka lembaran baharu terutama kepada 440,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia apabila penggunaan getah beku dalam negara dapat ditingkatkan.

Ini akan membantu menstabilkan harga getah yang dibelenggu  harga rendah sejak beberapa tahun kebelakangan  ini seterusnya  memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekebun.

Dijangkakan sebanyak 4.2 tan getah beku digunakan untuk satu kilometer jalan yang dibina.

Cp