Jumaat, 16 Jun 2017

Ranau - Bapa ditahan disyaki rogol anak kandung

RANAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun menjadi mangsa nafsu buas bapa kandungnya apabila membuat pengakuan kepada kakaknya bahawa dia dirogol bapanya berulang kali selama lebih kurang empat tahun.

Kakak mangsa menceritakan hal itu kepada nenek serta pakcik mereka, yang seterusnya melaporkan hal itu kepada pihak polis pada pagi Isnin.

Suspek ditangkap oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah IPD Ranau di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pahu Pinawantai Ranau lebih kurang lapan jam selepas laporan dibuat ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah yang mengesahkan kes kepada media memberitahu, suspek warga tempatan berumur 42 tahun dan bekerja sendiri itu ditangkap ketika sedang berehat di rumahnya.

"Siasatan awal yang kita jalankan menunjukkan bahawa mangsa yang masih bersekolah di tingkatan satu di salah sebuah sekolah menengah di sini merahsiahkan hal itu sejak umurnya 10 tahun lagi.

"Sejak beberapa tahun yang lalu bapa mangsa telah berulang kali melakukan perkara terkutuk itu ke atas anak kandungnya sendiri. Kali terakhir kejadian berlaku ialah pada 25 April tahun ini.

"Dia diberitahu agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapapun. Namun akhirnya mangsa tidak lagi dapat menahan perbuatan jijik bapa kandungnya itu dan menceritakan hal itu kepada kakaknya sewaktu berada di rumahnya," jelas beliau.

Menurut Farhan lagi, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa untuk tujuan siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

-OLEH ADUKA JASNIN SUMAN