Jumaat, 16 Jun 2017

Sabah tolak levi pelancongan sejak tahun lalu, kata Masidi

TAHUN lalu Sabah menolak cadangan untuk mengenakan levi pelancongan di negeri itu tetapi bantahan itu tidak diendahkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan negeri Masidi Manjun, hari ini.

Rang undang-undang (RUU) Cukai Pelancongan diluluskan dengan majoriti besar dalam Dewan Rakyat pada 5 April dan Dewan Negara pada 27 April.

Kabinet Sabah pada 9 September tahun lalu menolak levi hospitaliti, dengan Masidi berkata keadaan sekarang tidak kondusif untuk cukai seumpama itu.

Sektor pelancongan negeri baru saja pulih daripada pencerobohan keselamatan di pantai timur Sabah, dan gempa bumi pada 2015.

Masidi berkata beliau tidak faham bagaimana Nazri boleh meneruskan dengan RUU pelancongan sedangkan Sabah dengan jelas membantah apa juga levi baharu.

"Ya, Sabah tolak levi itu. Tetapi Putrajaya tetap terus gubal undang-undang itu awal tahun ini. Saya percaya ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mengundinya," katanya kepada The Malaysian Insight.

Dengan perbalahan mengenai cukai itu semakin tegang antara negeri jiran Sabah iaitu Sarawak dan Putrajaya, netizen media sosial mempersoalkan ahli Parlimen Sabah yang mana bersetuju RUU itu diluluskan di Dewan Negara.

"Saya percaya mereka semua (ahli Parlimen Sabah) baca akhbar dan saya akan terkejut jika mereka tidak tahu pendirian kami (Kabinet negeri) terhadap levi itu," kata Masidi.

Timbalan Presiden Warisan yang juga Ahli Parlimen Penampang Darrell Leiking menyatakan kebimbangannya tetapi tidak membantah RUU itu, sementara difahamkan ramai ahli Parlimen Sabah tidak hadir ketika RUU pelancongan diluluskan pada jam 5 pagi, 5 April lalu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong yang berada di Parlimen pada masa itu berkata DAP Sabah kekal dengan bantahannya terhadap cukai pelancongan dan mempertikaikan kenapa menteri Sabah tidak membangkitkan bantahan sama terhadap RUU itu.

Kabinet Sabah akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada hendak menerima atau menolak levi baharu itu pada Rabu depan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datu Rusmadi Sulai dijangka bertemu dengan rakan sejawatnya dari Sarawak pada Jumaat bagi membincangkan isu cukai pelancongan.

Dalam satu kenyataan bersama, pemilik hotel juga mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menangguhkan pelaksanaan cukai itu sehingga tahun depan.

Bercakap selepas mesyuarat dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Presiden Persatuan Hotel Sabah Christopher Chan berkata pengendali hotel akan kerugian teruk kerana mereka terikat dengan kontrak untuk mengekalkan kadar hotel dengan agensi pelancongan.

"Kontrak kami sah dari 1 April hingga 31 Mac tahun depan. Tetapi cukai akan dilaksanakan pada 1 Julai.

"Kami tidak boleh menyemak semula kadar itu sekarang kerana ia akan melanggar perjanjian, dan ia tidak adil untuk minta tetamu bayar lebih sebaik saja mereka sudah mendaftar masuk," kata Chan, menambah pengendali hotel tidak dapat menyerap Cukai Pelancongan.

Agensi pelancongan juga berisiko kerugian daripada tempahan awal jika hotel menyemak semula kadar mereka di pertengahan tahun akibat pelaksanaan cukai itu, katanya.

Wakil Persatuan Hotel Malaysia bahagian Sabah, Persatuan Hotel Bajet, Persatuan Backpackers Sabah dan Persatuan Pelancong Sabah turut hadir pada mesyuarat itu.