Jumaat, 28 Mei 2010

Pokok Pomotodon -Berpuaka dan Bermisteri

Pokok ini boleh dilihat dari jalan raya kg. Pinawantai. Bagi sesiapa yang teringin untuk mendekati pokok ini, anda boleh berbuat demikian dengan berjalan kaki dan meredah sedikit belukar. 

Anda bolehlah meletakkan kenderaan anda di Kedai Johs Adin, dan untuk ke pokok besar dan bermisteri ini anda akan melalui satu denai yang berhampiran dengan rumah En. Danius.

Kawasan tanah yang mana pokok ini sekarang berada ialah di kawasan tanah Pn. Asong Rumbai selaku ketua kampung. 

Walaubagaimanapun, persediaan fizikal tidak mencukupi malah haruslah bersedia dari segi mental dan rohani. Pokok ini dipercayai berpuaka oleh penduduk-penduduk kampung dan mempunyai semangat yang cukup keras. Pernah pada satu masa dahulu sekitar awal dekad 90-an, seminggu sebelum rumah besar Pn. Asong Rumbai terbakar dan mengorbankan seorang anak kecil, seorang penduduk kampung telah bermimpi perkara yang pelik. 

Dalam mimpinya berduyun-duyun orang seperti satu rombongan dari pokok ini datang ke rumah tersebut (di hadapan pintu gate SK. Pinawantai), dan mengunjungi rumah tersebut lalu menyatakan hasratnya untuk meminta korban kerana sudah lama penghuni di situ tidak disajikan apa-apa sajian. Selang beberapa hari kemudian berlakulah satu kejadian yang telah memusnahkan rumah tersebut. 

Pernah diceritakan juga bahawa pernah terjadi pada suatu malam penghuni-penghuni di pokok tersebut berpesta hingga ke pagi. Ia jelas didengari oleh penduduk-penduduk kampung yang tinggal berhampiran. Ia berlaku pada tahun 80-an sebelum kejadian yang pertama tadi berlaku. Pesta penghuni pokok itu mungkin berlaku kerana pada petang itu orang-orang kampung telah memberi makan kepada penghuni pokok tersebut dengan hidangan-hidangan yang istemewa. 

Adalah menjadi kebiasaan pada era 50-an hingga 70-an ramai pengamal ilmu-ilmu sihir dan jampi serapah yang bertapah di pokok tersebut dan menuntut sesuatu yang dapat membantu seperti ilmu kebal, perlindungan untuk kampung dan juga keluarga. 

Orang-orang tua dahulu di sekitar daerah Ranau amat mempercayai bahawa pokok tersebut berkuasa dan dapat menahan serangan luar dan dalam serta dapat menghindarkan dari malapetaka dan penyakit. 

Jika anda bertanya kepada orang-orang tua yang masih ada sekarang, dahulu pokok ini disebut Pomotodon yang bemaksud sisi yang berkuasa atau pusat utama lingkaran azimat. Tidak hairanlah ramai orang-orang pagan zaman dahulu yang fanatik terhadap kuasa pokok ini. Haiwan-haiwan korban seperti khinzir dan kambing di sembelih di sini. 

Bagi umat islam fahaman seperti ini adalah tergolong dalam Syirik dan wajib dihindari. Amalan-amalan syirik adalah amat bertentangan dengan ajaran agama islam dan boleh merosakkan akidah.