Jumaat, 31 Disember 2010

REZEKI DI DUNIA 90 % DALAM BIDANG PERNIAGAAN??

Sebenarnya rezeki dari Tuhan terbahagi kepada 2, 10 % adalah dari hasil gaji dan 90 % adalah dari bidang perniagaan. Sama ada anda percaya atau tidak, perhatikan apa yang berlaku di persekitaran anda saat ini. Cuma kekangan dari kesempitan pemikiran dan hasil didikan terdadap minda kita yang menyarankan kita semua untuk mendapatkan sumber rezeki melalui kerja makan gaji. Sebenarnya minda anda telah terpesong jika anda menganggap bahawa kerja makan gaji adalah keputusan muktamad yang harus dicapai untuk mengubah hidup. Sejak dari zaman berzaman lagi masyarakat dalam mana-mana tamadun pun, perniagaan adalah sumber utama bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Jarang sekali kita mendengar bahawa si Fulan Bin si Fulan menjadi kaya raya kerana hasil gaji yang diperoleh bertahun-tahun, melainkan wujudnya proses perniagaan tertentu bagi orang tersebut.
Saya ingin mengambil contoh, menteri-menteri di Malaysia ramai yang kaya raya bukannya hasil dari gaji mereka yang berpuluh-puluh ribu tetapi usaha mereka sendiri yang bijak mengambil peluang dalam arena perniagaan. Salah satu contoh di daerah Ranau, iaitu Datuk Ghani Gilong yang gigih berusaha dalam bidang perniagaan pertanian, Datuk Kasitah Gadam yang berjaya dalam bidang korporat. Jadi mengapa sempitkan fikiran dengan hanya memilih bidang kerja makan gaji?. Sedangkan di bawah telapak kasut anda sekarang pun adanya sumber rezeki yang tersembunyi dan kalau dimanfaatkan dengan baik, insyaAllah anda boleh menjadi jutawan.
Bidang perniagaan adalah sangat luas, termasuklah perniagaan jualan barang, perkhidmatan, pertanian, perusahaan ternakan, korporat, dan sebagainya. Saya merasa sungguh hairan kerana seumur hidup saya, tidak pernah pun saya mendengar bahawa ada kanak-kanak mahupun remaja yang bercita-cita untuk menjadi usahawan ataupun ahli perniagaan. Hampir kesemuanya memilih cita-cita untuk menjadi guru, polis, askar, peguam, doktor, juruterbang, juruteknik, mekanik, tukang masak, menjadi menteri, pegawai dan sebagainya. Kita pun dapat membaca fikiran mereka ini yang mempunyai wawasan untuk sekadar makan gaji sahaja. Cuba lihat graduan-graduan universiti sekarang ini di negara kita semakin bertambah-tambah dan hampir kesemuanya memilih untuk mendapatkan kerjaya di mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta. Sedikit sangat yang cenderung untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Hal ini merunsingkan penduduk negara kita kerana semakin lama semakin ramai penganggur dari golongan graduan ini.
Alasan miskin atau tidak mempunyai modal adalah sangat meleset. Tidak ada alasan untuk tidak dapat mencapai tujuan jika benar-benar ada kemahuan. Seperti kata-kata orang tua-tua, dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Dari bangku sekolah kita sudah mendengar kisah ‘angan-angan Mat Jenin’ dan kenapa kita tidak menjadikannya realiti. Bukan susah jika kita ada motivasi dan jika kita benar-benar mahu untuk berjaya. Dalam kisah angan-angan Mat Jenin, kita tahu dia memulakan cerita tersebut dari 0 atau sifar. Dengan 3 biji kelapa tua dijual lalu mendapat RM3. RM3 beli tepung buat kuih, jual dapat RM10. RM10 buat modal jual keropok dapat RM30. Rm30 buat modal dapat RM100, hinggalah Mat Jenin menjadi kaya raya dan memiliki beberapa kereta mewah, rumah mewah dan wanita idaman yang cantik. Cuma satu kesilapan yang terjadi iaitu berjaya sebelum tercapai, dimana dia jatuh lalu mati. Dari sudut pandang fositif, mengapa kita tidak ambil iktibarnya. Zaman sekarang tak perlulah dapatkan buah-buah kelapa tua, dengan memungut sampah pun boleh mendapatkan wang beribu-ribu ringgit. Sedangkan ada juga agensi-agensi lain yang dapat membantu soal modal..itu pun jika kita mahu..
Dalam pemerhatian saya yang telah ditugaskan di kampung yang jauh di pedalaman dan terperosok dari pembangunan kota, orang-orang di sini ramai yang mengatakan bahawa mereka ini miskin, tiada harta.. Tetapi bagi pendapat saya bukannya mereka ini tidak ada harta, tetapi tidak ada akal.. bayangkan tanah mereka luas tetapi kosong. Usaha tidak ada. Jika ada sekeping tanah seluas seekar pun sudah memadai untuk mengusahakan penternakan haiwan ternakan.. atau tanam dengan pokok getah ataupun sayur-sayuran. Semua perkara boleh diubah jika kita sendiri yang mengubahnya. Nasi tidak sampai di mulut jika bukan tangan kita sendiri yang menyuapkannya ke dalam mulut.
Sebenarnya, kita hanya perlu ada matlamat. Bukan sekadar untuk mengisi masa lapang dan untuk membeli keperluan dapur atau sekurang-kurangnya untuk meng’update’ jenis telefon kita. Bagi saya sendiri, saya mempunyai matlamat yang jauh lebih besar. Bukan sekadar mahukan sebuah atau dua buah kedai tetapi kalau boleh nak semua kedai di Sabah ini milik saya. Bukan sekadar mahu tanam empat lima ekar getah atau kelapa sawit, tetapi mahu beratus atau beribu hektar. Umur masih muda, apa salahnya memasang niat, yang penting usaha itu adalah tangga kejayaan.. Bukan sekadar slogan yang biasa kita nampak pada moral-moral dinding sekolah tetapi perlu dengan gerakan tangan dan kaki agar segalanya dapat dicapai. Ayuh semua bangsa Malaysia terutamanya graduan-graduan yang masih menganggur, kita ceburi dan dalami bidang perniagaan ini sedalam-dalamnya. Lautan api kalau tahu tekniknya, boleh diharungi… dengan mudah.. ada akal, maka gunalah..